Sign In
Mobirise Website Builder
Terus berbakti, memperkasa pembangunan belia

Sumber : Pelita Brunei
Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin​


BERAKAS, Selasa, 1 Ogos. - Belia memainkan peranan penting dalam kemajuan dan pencapaian sesebuah negara.

 

Pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) Ke-18 Tahun 2023 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Hari Belia Kebangsaan 2023 kepada lima orang belia yang telah banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.

 PA01.jpg


Penerima Anugerah Belia Cemerlang, Dr. Awang Andery Lim berkata, penganugerahan berkenaan memberikan inspirasi kepada beliau untuk melangkah lebih jauh ke hadapan dalam bidang yang diceburinya dan juga meneruskan usaha untuk menjadi pembimbing.

 

Sebagai Pegawai Pelajaran di Pusat STEP, Kementerian Pendidikan, beliau berhasrat untuk meneruskan tugas mendidik bagi memperkasa dan memberi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Menurut beliau, bidang STEM memupuk inovasi mewujudkan peluang, dan membantu menangani masalah serta isu masa hadapan, yang membuatkan beliau berazam dan komited untuk mengasah kemahiran dan meneruskan pembangunan holistik di negara ini.

 

PA02.jpg


Sementara itu, penerima Anugerah Belia Berkhidmat, Awang Mohammad Ashmeer Imtiaz Ahmad memberitahu bahawa komitmen beliau untuk memberikan kegembiraan kepada orang lain mendorongnya untuk melibatkan diri dalam bidang kesukarelawanan.

 

"Aktiviti kesukarelawanan membuatkan golongan (yang kurang bernasib baik) rasa dibantu dan diberikan perhatian. Amalan murni ini dapat memberikan satu kepuasan," ujarnya.

 

pa04.jpg

Manakala Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi yang telah melibatkan diri dalam aktiviti pengakap sejak di bangku sekolah, merupakan penerima Anugerah Pemimpin Muda Belia bagi Tahun 2023.

 

"Anugerah ini bukan sahaja bagi saya, tetapi juga pengiktirafan kepada Persatuan Pengakap Negara Brunei Darussalam yang telah banyak melahirkan pemimpin muda belia yang berkaliber.

 

"Persatuan pengakap secara umumnya memang memerlukan pemimpin-pemimpin yang berkaliber kerana ia bukan hanya pergerakan tempatan, malahan lebih bersifat global," jelasnya.

 

PA03.jpg

Anugerah Projek Cemerlang untuk Belia pula mengiktiraf pencapaian Pengurus Seacage Fish Farming (Fatih Aquaculture) dan Alya Playhouse, Awang Ahmad Fathi bin Dr. Haji Norarfan.

 

"Projek kami merupakan sebuah syarikat sangkar ikan di persisiran pantai Pulau Keingaran, iaitu Seacage Fish Farming (Fatih Aquaculture) yang kini memiliki 54 sangkar serta 15,000 ekor ikan tilapia merah dan selongsong.

 

"Selain itu, projek ini turut melibatkan Alya Playhouse, iaitu sebuah pusat penjagaan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah dan telah mempunyai tiga buah cawangan," katanya.

 

Beliau menjelaskan, projek berkenaan bukan sahaja bagi menjana pendapatan, tetapi juga membukakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dengan memperluaskan perniagaan menerusi penambahan cawangan.

 

"Semakin banyak cawangan yang ada, semakin banyak peluang pekerjaan boleh kami sediakan, sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran di negara ini," katanya

 

PA05.jpg

Sementara itu, penerima Anugerah Pengiktirafan Khas, Dayang Nurul Huda binti Haji Muhin, melahirkan rasa terharu kerana anugerah tersebut mengiktiraf dan menghargai usaha yang dilakukan golongan belia Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam sama-sama menyumbang kepada kemajuan negara, bangsa dan agama.

 

Beliau juga memberi saranan kepada para belia di luar sana untuk tampil ke hadapan, meningkatkan potensi diri serta berani dan berusaha bagi merealisasikan impian dan kejayaan.​


Attachments