Sign In
Mobirise Website Builder
Kongsi amalan terbaik dalam membuat perubahan

ND5_2980.jpg

https://www.pelitabrunei.gov.bn/PublishingImages/BERITA/2022/08%20OGOS/100822/06%20KONVENSYEN%20HARI%20BELIA/01.jpg

ND5_2983.jpg


ND5_2991.jpg


ND5_3043.jpg


Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman


BERAKAS, Rabu, 10 Ogos. - Beberapa sesi perkongsian, perbincangan interaktif dan bengkel dianjurkan sebagai pengisian pada hari kedua Konvensyen Hari Belia 2022 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

 

Dalam 'Sesi Bimbingan Hidup: Mendapatkan Semula Keyakinan dan Mengejar Impian Terbesar Awda' (Life Coaching Session – Regain Your Confidence And Pursue Your Biggest Dream) yang disampaikan oleh pakar undangan dari Republik Singapura, Mizi Wahid, antara lain menyeru para belia dan generasi muda untuk melaksanakan komitmen bagi membuat perubahan yang lebih bermakna dan bernilai untuk diri sendiri.

 

Menurutnya, jika kita mahu merubah kehidupan yang lebih baik, ia bermula dengan membuat keputusan / komitmen untuk berubah.

 

Nilai diri kita jelasnya diperolehi daripada kebolehan yang dinilai sendiri, prestasi dan Self-Talk dan ia bukannya datang daripada pelbagai faktor luaran seperti layanan orang lain (pembulian) ataupun kurang diberi pengiktirafan.

 

Untuk itu tambahnya, kita perlu menerima diri kita sendiri walau dalam apa juga keadaan pun.

 

Beliau seterusnya menyatakan, untuk mengukur nilai diri sendiri, kita hanya perlu melihat siapa orang-orang yang selalu di sekeliling kita, apa yang kita lakukan dan ingin capai serta bagaimana penampilan diri kita.

 

Tambahnya, ada beberapa cara untuk meningkatkan keyakinan diri antaranya ialah bergaul dengan orang-orang yang optimis, menyedari pelbagai kualiti terbaik awda, meningkatkan penampilan diri, menggunakan bahasa yang memberikan inspirasi, menjadi kawan yang baik kepada orang lain, membayangkan kejayaan dan kurangkan kerisauan.

 

Beliau juga mengongsikan pelbagai langkah praktikal ke arah membina keyakinan, iaitu dengan sentiasa berpakaian kemas, menjaga kebersihan diri, berdiri tegak, berjalan dengan tujuan, selalu senyum dan lantang mengeluarkan suara.

 

Muhammad Tarmizi bin Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Mizi Wahid merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Safinah Holdings Pte. Ltd., iaitu sebuah organisasi Islam moden dan progresif yang menjalankan pelbagai acara mengenai pelbagai isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini. 

 

Turut hadir mendengarkan sesi perkongsian tersebut, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin; serta para pegawai kerajaan termasuk para belia daripada pelbagai latar belakang.

 

Konvensyen Hari Belia 2022 bertujuan untuk menjadi wadah pertemuan para intelektual, penggiat aktiviti (mengikut bidang), belia, profesional, usahawan dalam sama-sama membincangkan pelbagai isu semasa serta berkongsi amalan terbaik dan kemahiran.


Attachments