Sign In
Mobirise Website Builder
Bergiat aktif membantu masyarakat

Sumber : Pelita Brunei
Berita dan Foto : Marlinawaty Hussin


BERAKAS, Selasa, 1 Ogos. - Salah satu organisasi yang menyertai Pameran Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-18 Tahun 2023 ialah Projek FEED iaitu sebuah perusahaan sosial di negara ini yang melaksanakan projek 'mentoring' (bimbingan) dan kelas komuniti mengaji.

 

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Projek FEED, Norsuziyani binti Abdullah, projek 'mentoring' selama tiga bulan itu menyasarkan golongan kurang berkemampuan di negara ini di mana mereka akan dibimbing dengan kemahiran insaniah (soft skill) untuk membantu mereka dalam kehidupan seharian.

 

"Kumpulan pertama telah pun selesai menamatkan program ini yang melibatkan peserta paling tua iaitu berumur 65 tahun yang mengusahakan perniagaan jamu.

 

"Dengan mempertemukan para peserta dengan individu-individu (mentor) yang telah berjaya bermula dari bawah, ia dapat memberikan mereka motivasi dan menambahkan ilmu mereka dalam bidang perniagaan," jelasnya.

 

Turut menyertai pameran ialah Pro-active 88, iaitu sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan hiasan, rekaan; makanan dan minuman, pengurusan acara serta pusat pembelajaran.

 

Pengasasnya, Nur Khafidah Alwa binti Haji Mohd. Bohari berkata, beliau telah mula menjalankan perniagaan tersebut sejak menjalankan pengajian Sarjana Muda aliran Ekonomi dan Keusahawanan (minor) di Universiti Brunei Darussalam.

 

Keyakinan memulakan perniagaan di usia muda, katanya, adalah atas keyakinan beliau kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan sokongan penuh ibu serta ahli keluarga yang lain.

 

Beliau juga menzahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana berpeluang melakukan apa yang beliau sukai dan berusaha untuk menjalankan perniagaan tersebut dengan sepenuh hati.

 

"Apa yang penting ialah jangan mudah menyerah kalah dan yakin kepada rezeki yang diberikan oleh Allah," terangnya.


Attachments