Sign In
Mobirise Website Builder
Ketengahkan Belia Siaga Masa Depan

​Belia masa depan adalah belia yang holistik, bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, sahsiah dan kerohanian tetapi juga belia yang berkemahiran, inovatif dan kreatif sejajar dengan kepesatan kemajuan pelbagai bidang.

 

Sehubungan itu, konsep Sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun ini memfokuskan kepada Keusahawanan dan Teknologi yang bertemakan ‘Belia Siaga Masa Depan’.

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama paduka-paduka anakanda dan adinda baginda berkenan berangkat menyaksikan pameran tersebut.

 

Perhimpunan Ramah Mesra Belia yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa yang memfokuskan kepada empat kluster utama iaitu ‘Pembangunan Lestari’; ‘Ekonomi Kreatif’; ‘Perusahaan Sosial’ dan ‘Kesukarelawanan’ yang disertai seramai 88 peserta dari syarikat-syarikat swasta dan persatuan-persatuan NGOs.

 

Matlamat Pembangunan Lestari ialah pelan tindakan untuk mencapai masa depan yang baik dan mantap untuk semua.

Mereka menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, iklim, kemusnahan alam sekitar, kemakmuran, keamanan serta keadilan.

 

Matlamat tersebut berhubung kait dan untuk memastikan tiada seorang pun ketinggalan, adalah penting bahawa kita mencapai setiap sasaran menjelang tahun 2030.

 

Sementara, Ekonomi Kreatif adalah sektor yang merangkumi aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan yang terletak di persimpangan kreativiti manusia, pengetahuan dan teknologi.

Ia merangkumi industri kreatif sejajar dengan buruh dan hasil pengeluaran.

 

Perkembangan Ekonomi Kreatif yang tepat menghasilkan nilai komersial dan budaya yang sepatutnya mempunyai potensi untuk menghasilkan pendapatan dan pekerjaan.

 

Industri Kreatif termasuk pengiklanan; seni bina; seni dan kraf; reka bentuk; fesyen; video; fotografi; muzik; seni persembahan; penerbitan; penyelidikan dan pembangunan; perisian; permainan komputer; penerbitan elektronik dan televisyen / radio.

 

Dalam temu bual Pelita Brunei bersama peserta Ekonomi Kreatif, Pengasas Covered by Annisa (CbA), Dayang Nisa Masir menjelaskan Covered by Annisa mula ditubuhkan sejak tahun 2014 yang menyediakan pakaian berkonsepkan Muslimah.

 

“Kesemua pakaian yang direka dan dijahit adalah hasil kerja anak tempatan kitani, dan mereka ini mempunyai kelulusan dari Universiti Brunei Darussalam dan sesetengah mereka ini juga merupakan ‘self-employed’ yang mempunyai potensi yang tinggi dalam bidang rekaan dan jahitan,” jelas beliau.

 

Tambahnya lagi, konsep rekaan CbA berasaskan 3L iaitu Labuh, Laju, Lawa dan semestinya rekaan fesyen mereka menepati ‘modest concept in syariah compliance’ iaitu menutup aurat namun masih mengikuti trend rekaan terkini yang cantik dan selesa.

 

Menyentuh mengenai perancangan masa kini dan jangka panjang, CbA giat menyertai pelbagai ekspo di luar negara antaranya di Malaysia, Singapura dan Jakarta, Indonesia yang antara lain bertujuan untuk memasarkan hasil produk keluaran mereka.

 

Menurutnya, CbA kini mempunyai butiknya sendiri yang terletak di Citis Square dan sambutan orang ramai adalah sangat menggalakkan lebih-lebih lagi dari kalangan pelanggan tetap mereka yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan di sepanjang usia CbA yang kini sudah mencecah lima tahun.

 

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar para belia di luar sana untuk sentiasa berusaha mencuba dan menyahut hasrat Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia memenuhi sektor-sektor keusahawanan di negara kita lebih-lebih lagi dalam sektor industri kreatif.

 

Sementara Pengarah Game On, Awang Amar Dani bin Agus Din ketika ditemu bual menjelaskan Game on ditubuhkan bagi mewujudkan pertandingan yang sihat dalam kalangan komuniti permainan orang Brunei (Bruneian gaming community).

 

Menurutnya, Game On adalah syarikat e-sports terkemuka yang berpangkalan di Negara Brunei Darussalam, yang memberi tumpuan kepada konsol dan permainan mudah alih sejak tahun 2016.

 

Sehingga kini, Game On telah menganjurkan lebih daripada 30 acara permainan, dengan menyediakan tempat yang khusus untuk pertandingan permainan video serta mengubah idea menjadi realiti menarik yang mewujudkan perpaduan dan persaingan sihat bersama pemain yang lain.

 

Beliau berharap untuk meneruskan acara permainan (gaming) berkenaan di masa akan datang dan terus mendapatkan sokongan dari pelbagai agensi yang berkenaan.

 

Menerusi Perusahaan Sosial pula, perniagaan yang didorong oleh tujuan untuk mewujudkan kesan positif dalam masyarakat iaitu memberi tumpuan kepada kesan / impak sebelum keuntungan.

 

Kesan yang dimaksudkan ialah yang dapat menyelesaikan isu-isu dalam masyarakat berkaitan dengan alam sekitar serta ekonomi.

 

Manakala, Kesukarelawanan pula secara amnya dianggap sebagai aktiviti altruistik di mana individu atau kumpulan memberikan perkhidmatan tanpa menerima keuntungan kewangan atau sosial.

 

Perhimpunan Ramah Mesra Belia itu bertujuan untuk menghimpunkan usahawan belia yang telah mencapai kecemerlangan dalam bidang keusahawanan serta usahawan belia yang mempelopori industri-industri baharu untuk berkongsi kejayaan dan pengalaman sesama mereka khususnya kepada para pengunjung.








Sumber : Pelita Brunei

Attachments